Sarojini Ruth Rajahser V Yeng Chong Realty Bhd

  

Download PDF Here

Keputusan Kand 13 No: D-22-1478-2009

 

DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI KUALA LUMPUR

 

(BAHAGIAN DAGANG)

 

GUAMAN SIVIL NO: D-22-1478-2009

 

ANTARA

 

SAROJINI RUTH RAJAHSER … PLAINTIF

 

DAN

 

YENG CHONG REALTY BHD … DEFENDAN

 

KEPUTUSAN (KANDUNGAN 13)

 

OLEH YANG ARIF HAKIM DATO’ TENGKU MAIMUN BINTI TUAN MAT

 

1

 

Keputusan Kand 13 No: D-22-1478-2009

 

Kand 13 adalah permohonan defendan untuk membatalkan writ saman dan penyata tuntutan plaintif di bawah A 18 K 19(1)(b) dan (d) Kaedah-kaedah Mahkamah Tinggi 1980.

 

Pada 15.6.1999 plaintif telah memasuki satu perjanjian jual beli di mana defendan bersetuju menjual dan plaintif bersetuju membeli sebidang tanah dengan harga belian RM129,240.00 (perjanjian tersebut) bagi tujuan mendirikan rumah-rumah bungalow di bawah projek yang dikenali “Bandar Golden Valley Golf Resort (projek tersebut). Mengikut klausa 7 perjanjian tersebut plaintif dikehendaki membayar ansuran bulanan sebanyak RM1,060.00 yang perlu dijelaskan pada hari ke 7 tiap-tiap bulan. Klausa 16(1) pula menyatakan bahawa defendan hendaklah menyerahkan milikan kosong hartanah tersebut dalam tempoh 36 bulan dari tarikh perjanjian.

 

Telah sampai ke pengetahuan plaintif bahawa projek tersebut telah lama terbengkalai tetapi fakta ini tidak dizahirkan oleh defendan. Malahan defendan terus mengutip ansuran bulanan yang mana plaintif telah menjelaskan sehingga ke tahun 2008 sebanyak RM104,940.00. Berikutan kegagalan defendan memberikan milikan kosong, plaintif melalui peguamcaranya telah menghantar notis bertarikh 30.10.2008 kepada defendan menamatkan perjanjian tersebut dan menuntut pembayaran balik RM104,940.00. Pada 30.7.2009 plaintif memfailkan writ saman dan penyata tuntutan.

 

Di dalam afidavit sokongan (kand 12) hanya satu alasan dikemukakan oleh defendan bagi membatalkan writ saman dan

 

2

 

Keputusan Kand 13 No: D-22-1478-2009

 

penyata tuntutan, iaitu tuntutan plaintif dihalang oleh had masa. Di dalam hujahan bertulis peguamcara bijaksana defendan, terdapat dua (2) lagi alasan iaitu bahawa tuntutan plaintif adalah tidak munasabah kerana plaintif menuntut inter alia satu deklarasi bahawa perjanjian jual beli dibatalkan, untuk bayaran balik ansuran bulanan dan juga untuk satu ganti rugi tertentu. Dihujahkan juga bahawa plaintif tidak berhak menamatkan perjanjian tersebut jika niat plaintif adalah untuk menuntut gantirugi tertentu. Juga dihujahkan bahawa plaintif telah ‘menidur ke atas hak-haknya’ kerana had masa untuk memfailkan tuntutan berakhir pada 15.6.2008 tetapi plaintif hanya memfailkan tuntutan pada 30.7.2009.

 

KEPUTUSAN

 

Saya berpendapat tuntutan plaintif tidak boleh dikatakan suatu yang mengaibkan, remeh dan/atau menyalahgunakan proses Mahkamah.

 

Peguamcara bijaksana defendan berhujah bahawa kausa tindakan timbul apabila berlakunya satu kemungkiran dan kemungkiran di sini berlaku apabila milikan kosong harus diserah iaitu pada 15.6.2002. Oleh itu tindakan oleh plaintif harus dan patut difailkan pada atau sebelum 15.6.2008.

 

Sebagaimana dihujahkan oleh peguamcara bijaksana plaintif, walaupun milikan kosong harus diberikan pada atau sebelum 15.6.2002, fakta penting yang perlu diambil kira di sini adalah bahawa dalam tindakan ini tiada milikan kosong diberikan sehingga

 

3

 

Keputusan Kand 13 No: D-22-1478-2009

 

hari ini. Perlu juga diambilkira bahawa defendan terus mengutip ansuran bulanan daripada plaintif sehingga 2008. Berdasarkan fakta ini saya berpendapat defendan tidak boleh mengatakan masa merupakan intipati perjanjian (lihat Zainab Mohamed v Syarikat Permodalan Johor (PP) Sdn Bhd [1998] 4 CLJ Supp 262).

 

Plaintif mengambil tindakan mengeluarkan notis penamatan sebaik mengetahui bahawa projek itu telah terbengkalai (eksibit SR1 kand 14). Saya berpendapat penghitungan had masa adalah bermula dari tarikh notis tuntutan dan/atau penamatan dihantar oleh peguamcara plaintif yang bertarikh 30.10.2008 (lihat Chong By Sam & Anor v Soon Teik Development Sdn Bhd [2008] 4 CLJ 235).

 

Hujahan pihak defendan bahawa tuntutan plaintif adalah tidak sah di sisi undang-undang, pada pendapat saya tidak bermerit. Ini kerana penyata tuntutan terpinda plaintif (kand 4) menunjukkan bahawa plaintif menuntut satu deklarasi bahawa perjanjian tersebut dibatalkan dan untuk jumlah RM104,940.00 iaitu ansuran yang telah dibayar oleh plaintif kepada defendan. Tidak terdapat tuntutan untuk satu gantirugi tertentu seperti dihujahkan oleh defendan. Berdasarkan yang tersebut di atas, permohonan defendan di kand 13 ditolak dengan kos sebanyak RM500.00.

 

(DATO’ TENGKU MAIMUN BINTI TUAN MAT)

 

HAKIM

 

MAHKAMAH TINGGI MALAYA BAHAGIAN DAGANG KUALA LUMPUR

 

Bertarikh 23 Jun 2010.

 

4

 

Keputusan Kand 13 No: D-22-1478-2009

 

Cik Vanishree bagi pihak Plaintif Tetuan S. Mathavan & Nur Hafizah Peguambela dan Peguamcara No. 35A, Jalan SS 15/4E 47500 Subang Jaya Selangor Darul Ehsan.

 

Cik Nalaletchumi Nallan bagi pihak Defendan Tetuan A.G. Dicom & Co.

 

Peguambela dan Peguamcara No. 40-2, Tingkat 2 Jalan Telawi Bangsar Baru 59100 Kuala Lumpur.

 

5

PDF Source: http://kl.kehakiman.gov.my