Mohd Nazir Bin Kahar Vs Ketua Pengarah Perkeso

  

Download PDF Here

DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI KUALA LUMPUR (BAHAGIAN RAYUAN & KUASA-KUASA KHAS) PERMOHONAN SEMAKAN KEHAKIMAN NO. 16-14-12/2013

 

ANTARA

 

MOHD NAZIR BIN KAHAR – PERAYU

 

DAN

 

KETUA PENGARAH PERKESO – RESPONDEN

 

[DI DALAM JEMAAH RAYUAN KESELAMATAN SOSIAL BAGI KAWASAN SELANGOR DI KAJANG SEMENANJUNG MALAYSIA PERMOHONAN NO. JRKS (KL) 48 TAHUN 2013

 

ANTARA-

 

MOHD NAZIR BIN KAHAR – PERAYU

 

DAN

 

KETUA PENGARAH PERKESO – RESPONDEN

 

( Diputuskan oleh Pengerusi Yang Arif Tuan Hamdan bin Indah di Mahkamah Perusahaan Kuala Lumpur pada 20.9.2013)

 

1

 

ALASAN PENGHAKIMAN

 

Perayu merayu terhadap Perintah Jemaah Rayuan Keselamatan Sosial yang bersidang di Perkeso Kuala Lumpur, yang diberi pada 11 Oktober 2013 yang memutuskan bahawa kemalangan yang dialami perayu bukanlah sesuatu bencana kerja di bawah sekyen 24 Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4).

 

Fakta Latar belakang

 

[2] Perayu merupakan seorang kerani di Bank Kerjasama Rakyat Malaysia. Perayu telah mengalami kemalangan jalan raya pada 09 Julai 2003. Pada masa itu, beliau dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Selayang dan telah melalui Jalan Raja Laut. Kemudian beliau mengubah haluannya ke Jalan Dang Wangi, memasuki Jalan Raja Abdullah dan terus ke Jalan Sultan Ismail untuk mengambil isterinya yang menunggu di perhentian bas di Jalan Sultan Ismail. Perayu kemudiannya mengalami kemalangan di Jalan Sultan Ismail yang mana beliau telah melanggar pembahagi jalan dan terpelanting ke arah pembahagi jalan itu. Perayu menerima rawatan di Pusat Perubatan Kg Baru pada keesokan harinya iaitu 10 Julai 2003 dan menjalani pembedahan tulang belakang pada 14 Julai 2014.

 

2

 

[3] Perayu mengemukakan permohonan untuk tuntutan faedah hilang upaya sementara melalui Borang Tuntutan kepada responden pada 22 Ogos 2003. Namun, permohonan beliau telah ditolak melalui surat Responden bertarikh 22 September 2003 atas alasan bahawa kemalangan yang beliau alami bukan “Bencana Kerja” di bawah Akta 4, kerana kemalangan berlaku dalam kawasan lencongan. Perayu merayu kepada Jemaah Rayuan Keselamatan Sosial pada 15 Julai 2013. Pada 20 September 2013, Jemaah Rayuan Keselamatan Sosial (JRKS) menolak rayuan perayu.

 

[4] Tidak berpuas hati terhadap keputusan tersebut, perayu memfailkan rayuan ini ke Mahkamah ini.

 

Isu

 

i. Samada rayuan perayu melebihi had masa ;

 

ii. Samada kemalangan perayu boleh disifatkan sebagai bencana kerja

 

Hujahan Perayu

 

[5] Seksyen 86(2) Akta 4 memperuntukkan bahawa setiap permohonan hendaklah dibuat dalam tempoh 3 tahun dari tarikh alasan tindakan diterbitkan.

 

3

 

[6] Dalam kes ini, keputusan Tuntutan Faedah Hilang Upaya Sementara Perkeso telah diberikan pada 22 September 2003 melalui surat. Namun perayu hanya memfailkan rayuan kepada JRKS pada 15 Julai 2013, yang nampaknya melebihi tempoh rayuan dibenarkan.

 

3. Seksyen 89 akta tersebut memperuntukkan bahawa jika Jemaah berpuas hati bahawa ada sebab berpatutan mengapa tuntutan tidak dibuat dalam tempoh yang ditetapkan, Jemaah boleh mengarahkan pembayaran faedah itu seolah-olah tuntutan telah dibuat dalam tempoh masa yang sepatutnya. Perayu berhujah bahawa perayu mempunyai sebab yang berpatutan dalam tidak membuat rayuan dalam tempoh dibenarkan. Ini kerana perayu tidak diwakili peguam, jadi beliau tidak dimaklumkan tentang had masa.

 

[4] Perayu juga berhujah bahawa surat PERKESO yang bertarikh 22 September 2003 hanya memaklumkan tentang alasan keputusan tetapi tidak memaklumkan kepada perayu tentang hak untuk merayu dan tempoh yang ditetapkan. Adalah hujahan perayu bahawa penggunaan maxim “ignorance of the law is no excuse” tidak boleh digunakan di dalam kes ini. Perayu merujuk kepada kes Lau Cher Hian v Collector of Land Revenue, Muar [1971] 1 MLJ 96. Dalam kes tersebut, notis yang disampaikan kepada perayu tidak menyatakan hak perayu memfailkan bantahan bertulis dalam tempoh 6 minggu. Mahkamah Persekutuan memutuskan

 

4

 

bahawa Mahkamah mempunyai kuasa untuk campur tangan dalam undang-undang yang terlalu ketat berdasarkan fakta setiap kes.

 

[5] Tindakan perayu mengambil isterinya setiap petang dalam perjalanan pulang ke rumah bukanlah satu lencongan. Perayu dan isterinya tinggal di rumah yang sama dan menjadi sebahagian dari tanggungjawab perayu untuk memastikan isterinya pulang ke rumah dengan selamat.

 

[6] Perayu merujuk kepada kes Ketua Pengarah Pertubuhan Keselamatan sosial v Mohd Zaili bin Ali [2004] 1 MLJ 283 yang mana mahkamah memutuskan bahawa seorang pekerja yang ditimpa kemalangan semasa pergi atau balik dari kerja patut dibenarkan membuat tuntutan di bawah seksyen 24, walaupun beliau telah menyeleweng dari perjalanannya untuk apa-apa sebab jika objektif perjalanan beliau adalah untuk sampai ke tempat kerjanya atau untuk balik ke rumahnya, jika penyelewengan tidak dibuat untuk sebarang aktiviti ekonomi yang lain dan tidak berkaitan dengan obligasinya.

 

[7] Perayu juga merujuk kepada kes Ketua Pengarah PERKESO v Tham Tian Siong [2008] 7 MLJ 854 yang mana Mahkamah memutuskan bahawa perjalanan seorang pekerja dari rumah ke tempat bekerja dan dari tempat bekerja ke rumahnya akan membentuk perjalanan yang berkait secara langsung dengan pekerjaannya. Semasa perjalanan tersebut, lencongan untuk

 

5

 

mendapat secawan teh, membeli barangan runcit atau singgah di rumah kawan tidak semestinya bermakna ia tidak berkait secara langsung dengan pekerjaannya. Kesemua bergantung kepada fakta setiap kes.

 

Hujahan Responden

 

[8] Responden berhujah bahawa permohonan perayu untuk merayu di dalam kes ini telah melebihi tempoh tiga tahun seperti yang diperuntukkan dalam seksyen 86(2) Akta 4. Perayu sepatunya mengemukakan rayuan selewat-lewatnya pada atau sebelum 21 September 2006. Namun perayu hanya mengemukakan rayuan beliau kepada JRKS pada 15 Julai 2013, kelewatan selama 6 tahun 9 bulan dan 19 hari.

 

[9] Responden juga berhujah bahawa dakwaan perayu yang kononnya beliau tidak dimaklumkan berkenaan tempoh had masa adalah tidak munasabah. Perayu sengaja menuding jari dan menyalahkan pihak lain atas kecuaian beliau sendiri.

 

[10] Adalah hujahan responden bahawa tiada bukti yang perayu tidak berupaya mengemukakan rayuan beliau dalam tempoh yang dibenarkan kerana perayu hanya menerima cuti sakit sehingga 08 Ogos 2003. Tiada bukti yang dikemukakan perayu bahawa beliau

 

6

 

tidak berupaya mengemukakan rayuan dalam tempoh yang dibenarkan.

 

[11] Sekiranya kemalangan yang berlaku terjadi semasa seseorang membuat lencongan dari perjalanan seperti dinyatakan dalam seksyen 24(1), hujah responden lagi, maka kemalangan tersebut tidak boleh disifatkan sebagai bencana kerja kerana kemalangan tersebut tidak terbit dari dan dalam masa menjalankan pekerjaan beliau.

 

[12] Responden merujuk kepada kes Ketua Pengarah PERKESO v Jusoh Abu Bakar [2003] 1 CLJ 383 yang mana mahkamah memutuskan bahawa kemalangan yang berlaku semasa Orang Berinsurans dalam perjalanan ke rumah sewanya untuk menukar uniform sebelum pergi ke tempat kerja bukan satu bencana kerja kerana kemalangan tersebut berlaku di luar laluan biasa antara kediaman dan tempat kerja.

 

Keputusan

 

[13] Pertamanya, saya merujuk kepada kes semakan kehakiman Pengarah Kastam & 1 Yang Lain v Kedai Makan Kebun Teh (Sutera Utama) Sdn Bhd & 6 Yang lain, yang mana Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa:-

 

7

 

“[13] It could be argued that the delay was merely 3 days as opposed to a situation where the delay was for a longer period. Again it was noted that there was no application to the aforesaid Court made by the respondent taxpayer to extend time to regularize the breach. Neither was there any explanation offered by the respondent taxpayer as to why there had been a delay and a noncompliance of the express provision on time. The law in such a situation is clear. Delay per se, may be innocuous but its occurrence, whatever its period, must be explained away by the party in whose interest it is to have it excused by making the necessary application to the Court….

 

To our mind, the learned Justice Vincent Ng described the legal proposition aptly when he had ruled, in the case of Tengku Anoomshah bin Tengku Zainal Abidin & Anor v Collector of Land Revenue, North-East District, Penang [1995] 3 CLJ 434 as follows:

 

“However, the words “or, Except where the delay is accounted for to the satisfaction of the court or judge to whom the application for leave is made ” in Order 53 r 1A, which deals with the applications, would sufficiently clothe the court with power to extend time to enable the aggrieved party to apply for leave to issue an order of certiorari. But though the court has an unfettered discretion to grant or refuse an extension of time, the rules of court must prima facie be obeyed; and in order to justify an extension of time, there must be some material on which the court can exercise its discretion in favour of the applicant.”

 

[14] The rationale for such a ruling was proffered in the case of Ong Guan Teck v Hijjas [1982] 1 MLJ 105 in that if such was not the case, then the party in breach of the rules would have the unfettered

 

8

 

right to extension of time which then would defeat the very purpose and object of the rules on limitation of period.

 

[14] Walaupun kes tersebut adalah berkenaan semakan kehakiman, saya percaya prinsip kes tersebut juga terpakai dalam kes di sini. Walaupun JRKS mempunyai hak untuk melanjutkan masa untuk perayu membuat rayuan, namun untuk berbuat demikian, mesti terdapat “sebab yang berpatutan” sebelum menggunakan budi bicara tersebut. Alasan perayu di sini adalah bahawa beliau tidak mengetahui berkenaan hak untuk merayu kerana mewakili diri sendiri dan bukan melalui peguam dan PERKESO tidak menyatakan hak untuk merayu dalam surat keputusan tersebut.

 

[15] Saya berpendapat, alasan yang diberikan oleh perayu sememangnya berpatutan. Sedangkan seorang peguan pun tidak boleh dianggap mengetahui semua peruntukan undang-undang, apatah lagi seorang kerani seperti perayu. Ini jelas dinyatakan oleh Ong Cj (Malaya ketika itu), di dalam kes Mahkamah Persekutuan, Lau Chu Hian (Supra) yang dipetik oleh perayu seperti yang berikut:

 

“ I do not think it is necessary to explain further. Nor do i commend too facile recourse to the so-called maxim “ingnorance of the law is no excuse ”. In this connection it is well to remember the words of Lord Atkin in Evans v Bartlam:

 

9

 

“ For my part I am not prepared to accept the view that there is in law any presumption that any one, even a judge, knows all the rules and orders of the Supreme Court. The fact is that there is not and never has been a presumption that everyone knows the law. There is the rule that ignorance of the law does not excuse, a maxim of every difference scope and application.”

 

[16] Justeru, saya bersetuju dengan perayu memandangkan perayu tidak diwakili peguam dan tidak dimaklumkan pula had masa tidak patut dijadikan penghalang untuk perayu membuat rayuan di Mahkamah ini, demi keadilan. Penggunaan maxim tentang had masa, “ ignorance of the law is no excuse” itu tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya kerana adalah suatu fakta yang tidak boleh disangkal bahawa tidak semua orang mengetahui semua peruntukan undang-undang, tidak juga seorang peguam, tidak juga seorang hakim, apatah lagi seorang kerani seperti perayu.

 

[17] Saya seterusnya berpendapat bahawa rayuan perayu wajar dibenarkan. Saya merujuk kepada kes Ketua Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial v Mohd Zaili Bin Ali [Supra]

 

yang mana Mahkamah memutuskan bahawa:-

 

10

 

[22] On the other hand….he should be held covered even if he had interupted his journey home from work to visit a sick relative at the hospital or if he had stopped at market to purchase provisions for it cannot be gainsaid that the main objective of his journey was to reach home and was not made in furtherance of any other economic pursuit other than the one which he was already committed to with his employer ”.

 

Perayu telahpun menerangkan bahawa lencongan itu dalam kes ini, hanyalah bertujuan untuk mengambil isterinya semasa ia melencong dari tempat kerja ke rumah. Ia tidak berkaitan dengan sebarang pekerjaan lain. Objektif atau tujuan perayu adalah jelas iaitu untuk pulang ke rumah dari tempat kerja dan hanya singgah mengambil isteri di satu perhentian. Tidak lebih dari itu. Lencongan itu tidak dibuat untuk sebarang aktiviti ekonomi yang lain. Adalah tidak masuk akal untuk mentafsirkan seksyen 24(1) itu bahawa perayu perlu balik ke rumah dahulu jika mahu membuat tuntutan di bawah seksyen berkenaan; sedangkan beliau mempunyai isteri, yang tinggal di serumahnya, yang tamat waktu bekerja sama sepertinya dan menunggu untuk pulang bersamanya.

 

11

 

Kesimpulan

 

[18] Selepas meneliti kertas-kertas kausa dan menimbangkan hujahan kedua-dua pihak, saya bersetuju sepenuhnya dengan pihak perayu. Justeru rayuan ini dibenarkan dengan kos.

 

DATO’ ZALEHA BINTI YUSOF HAKIM

 

MAHKAMAH TINGGI MALAYA KUALA LUMPUR.

 

Bertarikh: 07 Julai 2014

 

Bagi Pihak Pemohon: Puspawati binti Rosman; Tetuan William Leong & Co

 

Bagi Pihak Responden : Noraisah binti Mohd Foa’ad; Tetuan Hisham, Sobri K Kadir

 

12

PDF Source: http://kl.kehakiman.gov.my